Saturday, December 17, 2011

TUJUAN DAN MATLAMAT PERSATUAN

Tujuan / objektif Pertubuhan ini adalah seperti berikut:-

(a) Mendapatkan penaja kewangan untuk pelajar miskin bagi menampung perbelanjaan persekolahan bulanan pelajar-pelajar tersebut.

(b) Mengadakan aktiviti-aktiviti mengumpul dana dan keperluan lain bagi membiayai program yang sesuai untuk pelajar yang miskin seperti ceramah-ceramah motivasi, tuisyen, bengkel, kempen kesedaran pendidikan dan bantuan kelengkapan persekolahan.

(c) Memberi bantuan kewangan kepada golongan warga emas yang memerlukan.

(d) Membantu rumah-rumah kebajikan mendapatkan dana dan keperluan lain.

(e) Melakukan kerja-kerja kebajikan lain yang sesuai untuk membantu golongan-golongan seperti ibu tunggal, anak yatim piatu dan golongan kurang upaya.

(f) Mengadakan pelbagai aktiviti sosial untuk memupuk dan mengeratkan persaudaraan dalam kalangan ahli-ahli dengan syarat semua perbelanjaan bagi aktiviti tersebut hendaklah menggunakan wang ahli

SEJARAH PERSATUAN


Persatuan Tabung Kebajikan Rakyat Miskin Satu Pantai Barat Sabah atau dahulunya dikenali sebagai Tabung RM1 Untuk Rakyat Sabah merupakan satu kumpulan facebook yang pada asalnya bertujuan untuk memberi kesedaran kepada pengguna-pengguna facebook bahawa ada golongan yang tidak pernah dan tidak mampu untuk menikmati apa yang kita miliki. Bertemakan 'kemiskinan adalah tanggungjawab kita dan bukan satu bebanan', kumpulan facebook ini yang terdiri daripada Saimin dan isterinya, Bonyface Taine Malanjang dan rakannya, Francis Lombut, Daniel Yew, isteri dan kawannya, Joibi Dambul, isteri dan anak-anaknya,Azhar Othman dan Sikinor Gunu (dengan sokongan Gofri Nenghilon, Dell Inspiron, Nunu Nopolah, Veronita, Luzini Sylvester) telah mengadakan satu pertemuan dengan pelajar-pelajar tajaan masing-masing di Marudu Inn, Kota Marudu pada 29 Mei 2011. Pelajar-pelajar ini yang diuruskan sepenuhnya oleh Cikgu Mikat Umpiliu dari SK Magandai terdiri daripada Rahina Sungsi, Adlina Majapit, Pidi Jubin, Redin Mudin, Rudin Nuring, Majaus Podong, Sheldon Sogiwa, Gilbert Andang, Naily Rajie, Irene Mudin dan Francis Jukimin telah bertemu dengan penaja masing-masing.
Matlamat kumpulan facebook ini pada awalnya adalah untuk membantu golongan miskin keluar dari kemiskinan dengan menggunakan pelajar sebagai agen perubahan untuk membawa dan membuka fikiran keluarga dan masyarakatnya mencari ikhtiar mencari kehidupan yang lebih baik. Sebagai 'duta kecil', pelajar-pelajar ini diharapkan dapat mengubah kehidupan keluarganya melalui pendidikan. Walaubagaimanapun, kumpulan ini sedar bahawa perjalanan 'duta kecil' ini bukan mudah. Ramai yang diberhentikan oleh keluarganya kerana masalah kemiskinan, di samping kurangnya kesedaran ibubapa terhadap peri pentingnya pendidikan kepada anak-anak. Inisiatif yang dilakukan oleh cikgu Mikat dengan membuka akaun bank pelajar-pelajar itu memudahkan penaja-penaja untuk menghantar wang kepada 'duta kecil' dan bukan kepada ibubapanya. Walaubagaimanapun, masalah tetap ada apabila seorang pelajar tajaan Daniel Yew, Yusnita berhenti sekolah disebabkan masalah kurangnya kesedaran tentang pentingnya pendidikan. Sehingga kini, pelajar-pelajar ini masih ditaja dan dibawa pemantauan Cikgu Mikat.
Ramai yang mempersoalkan kenapa kumpulan facebook Tabung RM1 ini hanya menumpukan perhatian di Magandai sahaja. Memang umum mengetahui bahawa Magandai bukanlah satu-satunya kawasan yang miskin di Sabah. Walaubagaimanapun, kumpulan ini menjadikan Magandai sebagai perintis kepada strategi 'duta kecil untuk perubahan' untuk membantu golongan miskin. Satu hal lagi, Magandai sememangnya mendapat tempat untuk NGO, pihak-pihak swasta (ASTRO) dan badan-badan kebajikan lain untuk melakukan aktiviti kebajikan kerana usaha gigih guru-guru di sekolah itu untuk membuka kepada dunia luar bahawa kawasan itu memerlukan perhatian. Di tempat-tempat lain, agak kurang usaha daripada individu-individu tertentu untuk menunjukkan bahawa tempat itu memerlukan perhatian. Mujurlah Azhar Othman mempunyai hubungan yang baik dengan dunia pedalaman, sehingga dapat mengenalpasti beberapa kawasan yang memerlukan perhatian termasuk Bongkol, Ulu Sugut, Tagibang, Kanibongan dan beberapa tempat lain.
Pada 12 Disember 2011, Kumpulan yang hampir kehilangan sengatnya kerana kekurangan idea dan masalah komitmen kerja kembali segar apabila Pendaftar Pertubuhan telah meluluskan permohonan dengan nama barunya Persatuan Tabung Kebajikan Rakyat Miskin Satu Pantai Barat Sabah. Dengan idea-idea segar dan kesungguhan en Christopher Belimbing, Diana Aning, Mary Abel, Tuni Bansar, Ranie Bonsuin, Dave Mclaren, Winniefred Sikun, Miranda, Darren, Sandys, Bernadette dan Terence serta generasi muda, Denis Wong, Christ Tony, Janet Gunsalam, Joshua, Ranie Kitingan, Shukur, Anna Rofina dan rakan-rakannya yang lain ,persatuan ini melangkah satu tapak lagi ke depan. Walaubagaimanapun, seperti kata Azhar Othman, 'perjuangan baru bermula'. Banyak rintangan yang mungkin bakal dihadapi khususnya karenah birokrasi yang pastinya akan merencatkan sedikit matlamat dan tujuan persatuan. Walaubagaimanapun, kita percaya keikhlasan kita dan fokus kepada matlamat asal akan menjadikan persatuan ini lebih baik daripada hari ini.